KUALA KANGSAR: Pengundi berusia 18 tahun yang bakal menjalankan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diingatkan untuk tidak tersilap menggunakan kepercayaan ahli Parlimen, sepertimana yang dibuat ketika menggubal Rang Undang-undang (RUU) berkenaan pada 2019.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika RUU itu digubal, kesemua ahli Parlimen menaruh kepercayaan bahawa golongan umur berkenaan sudah boleh mengundi dengan rasional.

Justeru katanya, pengundi muda diingatkan untuk bersikap profesional dan memilih sebuah kerajaan yang stabil demi kepentingan semua.

“Apabila ahli Parlimen bersetuju untuk umur 18 tahun sudah boleh mengundi, mereka yakin golongan itu mampu bersikap matang, profesional dan akan membuat keputusan tanpa mengikut emosi.

“Maka, gunalah peluang ini untuk memilih sebuah kerajaan yang kuat dan stabil, kerana itu paling penting. Hanya kerajaan yang kuat dan stabil boleh memberi fokus kepada pembangunan.

“Kita lihat apa berlaku pada tahun 2018, apabila kerajaan yang dipilih adalah kerajaan yang tidak kuat dan tidak stabil. Oleh itu, orang muda kena menggunakan kesempatan ini sebaik mungkin dengan ilmu dengan pengetahuannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Program Mahasiswa Perak Sejahtera di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar pada Jumaat.

Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 10.6 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara akan turun mengundi pada PRU15.

Sejumlah 1,393,549 pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun manakala 4,614,429 pengundi berusia antara 21 hingga 29 tahun.

Dalam pada itu Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak turut ditanyakan tentang status calon-calon parti itu yang telah dinamakan untuk PRU15 di namun mempunyai masalah kesihatan.

Tanpa mengulas secara lanjut, beliau berkata ada antara mereka yang menarik diri daripada dicalonkan atas faktor kesihatan dan umur.

“Ada yang menulis surat kepada kita untuk nama mereka tidak dicalonkan kerana atas masalah kesihatan dan faktor umur lebih daripada 60 tahun,” katanya.

Pada 11 Oktober media melaporkan Saarani berkata seramai 126 nama daripada Perak telah diserahkan kepada pimpinan tertinggi UMNO untuk disenarai pendek sebagai calon pada PRU15.

Katanya nama-nama yang dicalonkan juga termasuk kepada individu atas kapasiti sebagai 'incumbent' atau penyandang kerusi di sesebuah kawasan seperti Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.